Sabar..Grateful is everything
Baru-baru ini, saya kehilangan satu barang yang penting bagi saya. Mulanya hati berasa resah gelisah…. memikirkan siapa yang ambil? Macamana nak buat kerja? Macammana boleh cuai sangat ni? Dan bermacam-macam persoalan yang timbul… Barang tersebut adalah sebuah kamera digital yang saya dan keluarga gunakan untuk merakam peristiwa-peristiwa yang penting, kenangan keluarga, percutian, bisnes dan lain-lain. Dengan kamera inilah saya merakamkan gambar-gambar untuk dijelmakan di dalam blog saya beautiful vacation dan yang lain(akan datang). Nampaknya selepas ini susah la ’sikit’ nak buat kerja.
Tetapi Alhamdulillah setelah difikir-fikir, bertenang dan muhasabah. Saya redha dan beringat, mungkin ini adalah ujian Allah kepada saya. Harta yang kita perolehi ini bukan milik mutlak kita tetapi kita diberi nikmat harta itu sebagai satu amanah yang perlu kita jaga dengan sebaik-baiknya. Mungkin dengan hilangnya harta itu adalah baik bagi ita daripada memilikinya. Dan ada yanag mengatakan ”engkau tak bayar zakat ni..”. Alhamdulillah dengan adanya ujian seperti ini mengingatkan kita bahawa kita hidup di dunia ini adalah sebagai hamba Allah dan jangan lupa tanggungjawab kita, dan ingat bahawa dunia ini adalah sebagai tempat ujian bagi kita.
(45) Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’.
Dalam ayat ini pula Allah menyuruh orang-orang yang beriman agar menjadikan Sabar dan Solat sebagai penolong dalam mereka menghadapi urusan keduniaan mereka.
Sabar ada tiga jenis, iaitu:
Sabar dalam melaksanakan suruhan Allah
Sabar dalam menjauhi larangan Allah
Sabar terhadap cubaan yang telah ditakdirkan oleh Allah.
Jadi sabar yang hakiki ialah kemampuan mengawal diri daripada melanggar larangan Allah dan taat melaksanakan berbagai suruhan-Nya walaupun dirasakan susah, serta sentiasa memikirkan bahawa setiap bencana yang menimpanya adalah telah ditakdirkan oleh Allah SWT. sejak azali. Dan dengan perkataan lain sabar yang sebenarnya ialah merendah diri dan patuh terhadap semua ketetaapan Allah iaitu dengan melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.
Setiap manusia sangat memerlukan ketiga tiga jenia sabar diatas. Dengan sabar segala galanya dapat dilakukan dengan mudah. Sabar adalah kunci kejayaaan. Allah sentiasa menolong orang yang sabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.
Adapun perintah Allah agar kita memohon pertolongan dengan shalat, kerana shalat adalah tiang agama dan cahaya bagi orang-orang yang beriman serta tali penghubung antara hamba dengan Tuhannya. Jika shalat dikerjakan dengan memenuhi syarat rukunnya dan adab adabnya serta kehadiran hati seperti berdiri dihadapan Allah Yang Maha Perkasa dengan rasa rendah diri, rasa takut akan azab-Nya dan penuh harap kepada rahmat Nya. Shalat yang dilakukan dengan cara begini akan boleh menolongnya agar dapat menghindarkan diri daripada dosa dan segala jenis kemungkaran.
Tetapi shalat yang sempurna adalah ” sangat berat ” kecuali bagi orang-orang yang khushu’. Bagi mereka shalat adalah mudah dan ringan kerana khusyu’ mengandungi makna takut kepada azab Allah dan mengharap rahmat yang ada disisi-Nya. Perasaan seperti ini akan mendorongnya supaya melakukan shalat dengan rela hati dan lapang dada bukan kerana terpaksa. Keadaan ini berbeda bagi mereka yang tidak mempunyaai perasaan demikian. Pada mereka tidak ada kuasa pendorong, malahan jika mereka melakukan shalat dirasakan justeru sebagai tugas yang paling berat.
Khusyu’ ertinya: Kerendahan hati dan ketenangan jiwa berdiri menghadap Allah dengan penuh ketundukan dan harapan serta sungguh yakin terhadap Allah dan pertemuan dengan-Nya.
Atas sebab inilah maka Allah menjelaskan pada ayat berikut tentang siapakah sebenarnya orang-orang yang khusyu’ itu?
(46) (Iaitu) orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.
Sebenarnya keyakinan yang mantap bahawa setiap amalan kita di dunia ini akan diberi ganjaran di akhirat dan mereka kelak pasti akan menemui Allah untuk mempertanggungjawabkan segala perbuatan mereka. Keyakinan inilah sebenarnya yang telah membuat mereka merasa ringan ketika melakukan ibadat, membuat mereka boleh merasa tabah jika ditimpa bencana dan mencegah mereka daripada melakukan segala jenis kemungkaran.
Sedangkan manusia yang tidak mempunyai keyakinan seperti diatas, malahan tidak mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka bagi mereka ibadah shalat dan ibadah ibadah lainnya adalah merupakan suatu yang paling sukar lagi membebankan.
PS : kepada ’internet marketer’ muslim yang berjaya jangan lupa bayar zakat. Itu adalah tanggungjawab kita sebagai hambanya…
April 3, 2008 pada 2:00 am
Saudara, Alhamdullillah kerana yang hilang hanyalah sebuah kamera walaupun ia punya kenangan tersendiri. Bagaimana kalau hilang rumah, ahli keluarga atau hilang keupayaan kita yang telah kita nikmati anugerahnya selama ini. Syukur kerana cubaan itu hanya’secubit’.